Sebelum kedatangan Encik Abdul Karim di daerah ini sudah pun wujud sebuah kampung berhampiran sungai lebih kurang 10 km dari Pekan Selama yang dikenali sebagai Kampung Sungai Bayor. Kampung ini didiami oleh orang-orang Melayu keturunan Pattani.
Rombongan Encik Abdul Karim menaiki sampan memudiki Sungai Kerian dan singgah di sebuah tempat bernama Tanjong Medan (kini dikenali Kampung Medan). Kemudian mereka berpindah pula ke Kampung Selamat yang terletak antara Jalan Sir Chulan dan Kampung Gudang, Kemudian kampung itu ditukar nama kepada Kampung Selama. Setelah bijih timah dijumpai (di belakang Pejabat Daerah Selama sekarang), maka Encik Abdul Karim menjemput orang keturunan Rawa dari Sumatera dan Orang Cina datang ke Selama untuk memajukan perusahaan bijih timah di Selama.
Encik Abdul Karim pernah menubuhkan pasukan pengawal untuk melindungi keselamatan pekerja dan perusahaan bijih timahnya. Bijih diambil secara mendulang dan cara pam kelikir. Bijih dijadikan jongkong dan dipasarkan ke Nibong Tebal menggunakan sampan. Setelah hasil bijih timah merosot, maka Encik Abdul Karim menyerahkan Kampung Selama kepada pihak Inggeris pada tahun 1888. Di bawah pihak Inggeris dibangunkan dan dimajukan seterusnya.
Encik Abdul Karim juga pernah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (State Council) di bawah pemerintahan Raja Yusuf. Encik Abdul Karim meninggal dunia pada tahun 1892 dan dikebumikan di perkuburan berhampiran Masjid Lama Selama.
0 comments:
Post a Comment